Wednesday, June 8, 2011

Program Latihan Khidmat Negara atau Program Khidmat Negara?

Program Khidmat Negara



Banyak negara di dunia yang melaksanakan National Service atau Khidmat Negara. Di UK, program khidmat negara diwajibkan ke atas setiap lelaki yang berumur 18-51 tahun dan wanita yang berumur 20-30 tahun. Di Singapura, mereka yang berumur antara 16-40 tahun wajib menyertainya. Begitu juga di negara Zionist, Israel - remaja yang mencecah umur 18 tahun wajib berkhidmat dalam IDF selama 2 tahun. Matlamat pelaksanaan program khidmat negara di kebanyakan negara adalah pertahanan.

Israel dan Singapura pula mempunyai persamaan besar iaitu kedua-duanya adalah negara kecil yang terletak dalam zon berisiko dikelilingi negara-negara musuh ciptaan sendiri atau negara-negara yang berpotensi menjadi musuh. Keperluan untuk mencukupkan anggota pertahanan menjadi satu keperluan. Walaubagaimanapun, semua negara yang melaksanakan program ini mempunyai matlamat asas yang serupa iaitu menyatukan rakyat, memupuk kesetiaan kepada negara dan pemerintah.

Di Israel, walaupun Arab-Israel dibenarkan menyertai askar kerahan mereka wajib mendokong Zionisme. Begitulah hebatnya kesan indoktrinasi dalam program latihan khidmat negara mereka.

Di negara kita, program serupa telah mula dilaksanakan dalam tahun 2004. Program Latihan Khidmat Negara yang diwujudkan bawah akta parlimen mempunyai objektif berikut:

  • Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
  • Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
  • Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
  • Menyemarakkan semangat kesukarelaan.
  • Melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.   
 
Secara asas, modul-modul latihan terbahagi kepada 4 kategori iaitu Modul Fizikal, Modul Kenegaraan, Modul Pembinaan Karakter dan Modul Khidmat Komuniti yang diterapkan sepanjang 3 bulan. Program ini sudah masuk tahun ke-7 pelaksanaan dan banyak isu-isu berbangkit. Antaranya tentang keberkesanan program dan faktor kos yang mencecah RM600 juta setahun.
 
Tentang faktor kos, saya biarkan kepada ahli-ahli politik sahaja untuk membahaskannya. Saya lebih berminat untuk membincangkan tentang aspek keberkesanan program ini. Bagi saya, mana-mana penceramah motivasi boleh mengendalikan program ini dengan berkesan selama 5 hari sahaja. Sesiapa yang pernah menghadiri program motivasi yang dikendalikan oleh pakar motivasi terkenal mungkin bersetuju jika saya katakan perwatakan peserta akan berubah setelah tamat kursus. Bezanya di sini cuma tempoh dan modul tetapi matlamatnya sama. Akan tetapi, tiada jaminan perubahan positif tersebut akan berkekalan. 
 
Seseorang yang pernah belajar ilmu Sosiologi pasti faham tentang konsep Sosialisasi (baca di sini). Bagaimana jika seorang pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara? Bertahun-tahun berada di luar negara sudah pasti mendedahkan rakyat kita kepada perkara-perkara baru yang menarik minat mereka. Suasana politik, ekonomi, sosial dan agama yang sangat berbeza daripada kampung halaman. Proses sosialisasi akan berlaku dan menjangkiti pemikiran mereka; pemikiran inilah yang akan dibawa pulang ke tanahair. Fahaman komunis, sosialis, liberalisme, nazi, syiah, wahabi dan macam-macam lagi. Bagaimana perkara ini boleh diatasi? 
 
Saya pernah mencadangkan supaya mereka dikenakan syarat sebelum menjalani kehidupan normal di Malaysia.  Berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 2 tahun dengan bayaran gaji mengikut kelayakan tangga gaji dalam perkhidmatan ATM. Selesai proses indoktrinasi melalui latihan rekrut 3 bulan, mereka boleh ditempatkan di unit-unit mengikut bidang ilmu masing-masing. Graduan jurutera di Rejimen Askar Jurutera DiRaja, perubatan di Kor Perubatan, IT di Rejimen Semboyan DiRaja dan sebagainya. Selain Tentera Darat, penempatan di unit-unit berisiko rendah dalam Tentera Udara dan Tentera Laut juga boleh dipertimbangkan. Paling tidak, di Rejimen Askar Wataniah. Langkah ini boleh membantu proses sosialisasi semula agar jiwa mereka kembali patriotik setelah fahaman asing dikikis. Fahaman agama yang ekstrimis juga boleh dikendurkan jika kaedah ini digunakan. 
 
Jika gagal melunaskan 'hutang' tersebut, mereka wajar dikenakan tindakan. Saya tidak syorkan sama sekali sebarang bentuk tindakan undang-undang. Memadai dengan menghalang mereka membuka akaun KWSP, disenarai hitam sebagai pemohon jawatan kerajaan dan dilarang menjadi pegawai mana-mana pertubuhan.  
 
Suatu perjanjian hendaklah ditandatangani antara pelajar dan Kerajaan Malaysia sebelum pelajar terbabit meninggalkan negara. Buat permulaan, perkara ini boleh dijadikan syarat tambahan kepada penerima biasiswa kerajaan atau mana-mana GLC. Jika tidak bersetuju, mereka boleh memilih untuk belajar di IPTA atau IPTS dalam negara. Keberkesanan program ini hendaklah dipantau untuk satu jangka waktu tidak melebihi 10 tahun. Kerajaan tidak perlu bimbang masalah brain drain kerana tempoh Khidmat Negara yang diwajibkan hanya selama 2 tahun manakala kitaran proses adalah berterusan. Paling penting, alumni-alumni ATM ini akan lebih kuat dan tabah menghadapi cabaran dalam hidup. 
 
Pandangan saya mungkin agak radikal tetapi jika kita hendak mencontohi negara-negara maju seperti Korea Selatan, contohilah juga falsafah keramat mereka iaitu is is not about industrialisation, it is about nation building.

No comments:

Post a Comment