Monday, June 6, 2011

UMNO perlu bertindak 'Gentleman'

Menghitung hari ?

Semasa pilihanraya umum ke-10 tahun 1999, UMNO kehilangan banyak kerusi Parlimen dan DUN. UMNO kalah teruk di Kelantan dan negeri Terengganu jatuh ke tangan PAS. Isunya cuma satu, Anwar Ibrahim. Kes pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim daripada parti UMNO dan Kabinet; dan disusuli pula dengan insiden mata lebamnya yang tersebar ke seluruh dunia telah memberikan kelebihan kepada Barisan Alternatif yang pada ketika itu didominasi oleh PAS. PAS telah menggunakan sepenuhnya kesempatan ini dengan berpura-pura membela Anwar Ibrahim yang satu ketika dulu pernah disifatkan oleh mereka sebagai Mengundi Anwar Ibarat Menempah Bilik Neraka. (klik di sini)

Walaubagaimanapun, PAS gagal mempertahankan kemenangan mereka dalam pilihanraya umum ke-11 tahun 2004 yang kesudahannya memperlihatkan PAS hampir tersungkur di Kelantan dan Terengganu kembali dikuasai UMNO. Kali ini faktor-faktor utama kemenangan besar UMNO-BN adalah pengunduran Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia serta kesungguhan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi memerangi rasuah dan membawa perubahan dalam UMNO dan kerajaan. Perbicaraan kes Tan Sri Eric Chia dan Tan Sri Kasitah Gaddam telah melonjakkan populariti Pak Lah.

Pemimpin-pemimpin PAS menyedari mereka menghadapi jalan sukar untuk kekal relevan dalam politik Malaysia jika populariti Pak Lah terus meningkat. Mursyidul Am parti PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak terkecuali. Beliau lantas memohon maaf secara terbuka daripada seluruh rakyat Kelantan atas segala kesilapan dan kelemahan yang wujud dalam pentadbirannya selama menjadi Menteri Besar dengan harapan akan diberi peluang sekali lagi oleh rakyat Kelantan. Dengan berbuat demikian, Nik Aziz berjaya meraih simpati rakyat Kelantan sekurang-kurangnya agar dapat bertahan sehingga PRU akan datang.

Keputusan pilihanraya umum ke-12 pula mengejutkan semua pihak. Pengundi-pengundi sudah bijak menghukum parti yang tidak mengotakan janji. Graf prestasi Pak Lah yang menjunam amat ketara apabila beliau gagal meneruskan agenda perubahan yang dicanangkan. Transaksi rasuah berlaku di bawah batang hidung beliau sendiri. Banyak kes-kes rasuah berprofil tinggi yang tiada tindakan susulan. Kemuncak kemarahan rakyat kepada pentadbiran Pak Lah adalah apabila harga bahan bakar dinaikkan begitu tinggi, paling tinggi yang pernah dicatatkan. Pak Lah juga dikatakan cakap tidak serupa bikin apabila membatalkan projek Jambatan Bengkok atau Crooked Bridge untuk mengelakkan pembaziran, sebaliknya beliau melancarkan pembinaan Penang Second Link dan dalam masa yang sama, jambatan sedia ada dilebarkan. Pak Lah juga gagal membentuk kabinetnya sendiri dan mewarisi sepenuhnya peninggalan Dr Mahathir.

Penganalisis politik pula memberikan kredit kepada Anwar Ibrahim kerana gabungan parti-parti pembangkang berjaya menidakkan majoriti 2/3 Barisan Nasional. Sebenarnya, Anwar Ibrahim tidak akan berjaya melakukannya jika Pak Lah mempamerkan prestasi yang cemerlang sepanjang beliau memegang jawatan. Anwar Ibrahim hanya bertindak sebagai pemudah cara iaitu mengikat janji parti-parti pembangkang agar tiada pertembungan 3 penjuru; 1 lawan 1.

Sekarang, Anwar Ibrahim mengetuai pakatan pembangkang dalam misi yang lebih besar iaitu merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional. Lebih tepat, bukan Barisan Nasional tetapi UMNO yang menjadi sasaran serangan segenap penjuru. Berbekalkan kelebihan yang dimiliki Anwar sebagai bekas pemimpin kedua tertinggi UMNO dan Kerajaan, banyak skandal-skandal yang dibongkarkan satu persatu dengan teratur. Pakatan pembangkang seolah-olah mendapat bekalan peluru yang berterusan melalui Anwar.

UMNO tidak dapat lari daripada hakikat bahawa rakyat sedang memerhatikan kedua-dua pihak dan mendapati UMNO sedang beroperasi dalam mod defensif. Banyak isu-isu yang masih belum dijawab dengan sempurna samada secara lisan atau tindakan. Secara peribadi, saya melihat UMNO sedang cuba membaiki kerosakan-kerosakan yang dilakukan sebelum ini oleh Barisan Nasional dan Kerajaan. Natijahnya, semakin banyak kerosakan yang berlaku. Lebih tepat lagi, gali lubang tutup lubang.

Apa yang sangat-sangat diperlukan oleh UMNO sekarang adalah perubahan drastik dalam barisan kepimpinan dan tindakan-tindakannya. Jika saya menjadi Presiden UMNO, apa yang akan saya lakukan adalah memohon maaf secara terbuka daripada seluruh rakyat Malaysia dan menyatakan komitmen untuk memacu perubahan. Tidak semestinya permohonan maaf tersebut berbunyi "Saya minta maaf". Ada bermacam-macam cara lain yang berkesan. Ego yang berpanjangan tidak memberi sebarang keuntungan dalam politik. Keikhlasan pula hanyalah retorik. Jika UMNO sanggup merayu undi semasa pilihanraya, mengapa tidak menagih ehsan rakyat hanya sekali ini sahaja?

Rakyat Malaysia sudah celik politik dan berani menghukum. Apa yang sangat-sangat dinantikan oleh rakyat adalah permohonan maaf daripada UMNO. Semoga UMNO akan dimaafkan untuk menjamin kesinambungan perjuangan demi Agama, Bangsa dan Tanahair tercinta.

No comments:

Post a Comment