Thursday, March 10, 2011

Apa yang sedang berlaku dalam politik Malaysia?


Sejak terbentuknya consensus Pakatan Rakyat (PR) hasil kerjasama PKR + DAP + PAS bagi menghadapi PRU12 (2008), suasana politik di Malaysia nampaknya sudah tidak aman. Walaupun PR bukan sebuah gabungan yang sah seperti Barisan Nasional (BN), pakatan itu seolah-olah berjaya merobek keamanan politik Malaysia dengan mengambil kesempatan atas kelemahan pentadbiran mantan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Badawi (Pak Lah). Selain faktor Pak Lah, rasa tidak puas hati masyarakat terhadap sikap dan prestasi pemimpin bawahan BN juga menyumbang kepada faktor penafian majoriti 2/3 kerusi parlimen yang lazimnya dimenangi oleh BN. 

Walaupun sudah 3 tahun PRU12 berlalu, nampaknya kita masih belum menikmati kestabilan politik yang menguntungkan rakyat. Pertempuran antara BN dan PR semakin sengit di mana kedua-dua pihak dilihat saling membalas serangan antara satu sama lain. Natijahnya, rakyat semakin terhimpit dan menjadi mangsa sebenar dalam pertempuran ini. Pelaburan asing dan domestik yang agak lembap serta pertumbuhan ekonomi yang bergantung kepada perbelanjaan kerajaan menyebabkan kehidupan rakyat semakin tertekan. Sampai bilakah kerajaan mampu bertahan sebagai penggerak enjin pertumbuhan ekonomi yang sepatutnya dipikul oleh sektor swasta? Tidak selama-lamanya, itu pasti. 

Kestabilan politik antara faktor paling penting untuk menjana ekonomi. Bilakah kestabilan politik yang kita harapkan akan tercapai? Mengapa ini berlaku? 

Apa yang kita sedang saksikan sekarang adalah pertembungan ideologi antara BN dan PR. Bagi penulis, ini punca sebenar. Sejak negara kita merdeka dalam tahun 1957, ideologi politik Malaysia tidak pernah berubah. Demokrasi berparlimen ala Westminster dibawah naungan Raja yang berdaulat telah mencorakkan sistem pemerintahan dan pemikiran rakyat Malaysia. Sistem ini ternyata berkesan dan tidak pernah dicabar. Walaupun wujud parti-parti yang memperjuangkan ideologi sosialis seperti DAP atau PSM, dan teokrasi seperti PAS, kerangka Westminster masih diguna pakai. 

Pada hari ini, sistem ini sedang dicabar. Di sebelah PR, gabungan ideologi liberal (PKR), sosialis (DAP) dan teokrasi (PAS) seolah-olah telah mewujudkan satu ideologi baru yang caca-marba. Di pihak BN pula, masih mempertahankan sistem asal yang diamalkan selama ini. BN masih dan akan terus mengekalkan sistem sedia ada, yang telah diubahsuai daripada sistem asal dengan mengambil kira banyak faktor termasuk demografi Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik serta status negara kita yang sedang membangun. 

PR sebenarnya sedang cuba membuat transformasi secara paksaan dari luar sistem, kononnya atas nama politik baru. Ini bahaya!. Harus diingat, politik bukan hanya menjaga kepentingan parti-parti politik tetapi perlu mengambil kira hak-hak rakyat. Pembaharuan politik mesti menguntungkan rakyat secara keseluruhan dan bukan hanya tertumpu kepada mana-mana parti politik, pemimpin mahu pun penyokongnya semata-mata. Ini yang gagal difahami oleh Anwar dan sekutu-sekutunya. 

Jika Anwar dan PR ikhlas dan jujur dalam perjuangan membawa perubahan dalam politik Malaysia, isu yang sebegini besar mesti dibawa ke meja rundingan. Anwar mesti membentangkan kes di hadapan BN dan perkara ini wajar diadili dan diputuskan sendiri oleh DYMM YDP Agong selaku penaung sebenar kepada rakyat jelata. Sehingga hari ini, perkara ini gagal dilakukan oleh Anwar dan dia menganggap dirinya sebagai orang yang paling layak menentukan hala tuju politik Malaysia. Anwar boleh memutar-belit dengan mengatakan dia tidak menentang kerajaan sebaliknya hanya menentang UMNO-BN. Kita harus faham bahawa BN telah membentuk kerajaan dan mesti diberi peluang membetulkan kesilapan. Sekiranya BN gagal, Anwar boleh berkempen sepuas-puasnya selepas pembubaran parlimen dan biar rakyat sahaja yang menentukan pilihan semasa PRU. Anwar lupa bahawa dia hanya seorang ketua pembangkang dan kerajaan yang sedang ditentangnya sekarang bukan kerajaan BN tetapi Kerajaan Seri Paduka Baginda. Sehingga penjelasan sebenar tentang model politik baru yang diperjuangkan Anwar diberikan kepada semua pihak berkepentingan terutamanya DYMM YDP Agong, penulis tidak teragak-agak untuk mengatakan ini adalah satu pengkhianatan besar terhadap rakyat dan negara. 

Anwar dan sekutu-sekutunya selalu menjadikan negara-negara maju seperti AS, Singapura, Korea Selatan atau Jepun sebagai contoh. Barangkali Anwar lupa Malaysia bukan negara maju. Kita sedang membangun. Memang Anwar gagal memahami sejarah pembentukan negara Malaysia. Sejarah kita tidak sama dengan mana-mana negara maju. Bangsa Melayu tidak pernah menjajah Tanah Melayu untuk mendirikan negara. Tidak seperti AS, Singapura atau Australia, negara mereka dibentuk oleh pendatang melalui penindasan. Buat masa sekarang, adalah lebih baik Anwar tumpukan kepada masalah peribadi yang sedang dihadapinya. Dia mempunyai peluang untuk membersihkan tuduhan ke atas dirinya melalui cara yang sah. Sebaliknya, dia memilih untuk diadili oleh mahkamah rakyat. Mengapa Anwar sendiri yang menjadi hakimnya?

No comments:

Post a Comment