Thursday, February 10, 2011

Hapuskan istilah ‘kaum minoriti’


Sejarah membuktikan orang Melayu pernah menjadi kaum minoriti di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Setelah Singapura menarik diri daripada Persekutuan Malaysia dalam tahun 1965, demografi penduduk Malaysia telah sedikit berubah. Kaum Melayu kembali menjadi majoriti, merangkumi pelbagai suku seperti Melayu Banjar, Melayu Bidayuh, Melayu Asli, Melayu Jawa, Melayu Jawi Peranakan dan macam-macam Melayu. Atas dasar inilah, UMNO memilih frasa ‘rumpun Melayu’ dalam lirik lagu partinya. Pada hari ini, rumpun Melayu ini sudah jarang kedengaran, mungkin kerana suku-suku Melayu ini berjaya dihimpunkan dalam satu jemaah dan lebih dikenali sebagai Melayu secara umum.

Bagi orang-orang Cina pula, mereka terbahagi kepada beberapa suku dialek utama seperti Hokkien, Hakka, Kantonis, Teochew, Hainan dan Hokchiu. Walaupun senarionya kelihatan sama, hakikatnya orang-orang Cina sebenarnya terbahagi kepada suku dialek (pertuturan) manakala orang-orang Melayu pula lebih kepada suku adat, selain dialek.

Lain pula kisahnya dengan orang-orang India. Walaupun mereka terdiri daripada pelbagai suku dialek seperti Tamil, Sikh, Malayalam, Punjabi dan sebagainya, terdapat juga pecahan-pecahan mengikut kasta dalam setiap suku. Sebagai contoh, Tamil Chettiar yang merupakan kasta pedagang yang berasal dari Tamil Nadu di India.

Itu serba ringkas tentang latar belakang kaum utama yang menjadi penggerak politik dan sosio-ekonomi di Malaysia.

Jika taburan penduduk antara 3 kaum ini menunjukkan kaum Melayu sebagai majoriti, kaum Cina di tempat kedua dan tempat berikutnya kaum India, mengapa penguasaan ekonomi menjadi sebaliknya? Kaum Cina dan India mendahului kaum Melayu. Di mana silapnya? Memang mudah untuk mengkritik kegagalan dasar itu dan ini sebagai penyebab kepada situasi ini termasuk menyalahkan DEB. Asalnya, DEB diperkenalkan untuk mengintegrasi semua kaum di Malaysia untuk kemakmuran ekonomi tetapi sejak wujudnya dasar ini, statistik menunjukkan orang Melayu semakin ketinggalan. Tidak hairanlah jika parti pembangkang terutamanya DAP sentiasa menjadikan DEB sebagai senjata untuk menyerang pelaksanaan dasar kerajaan dalam membantu orang-orang Melayu dan bumiputera lain. Ada kalanya MCA juga senada dengan DAP dalam hal ini.

Antara kelemahan ketara yang diwarisi oleh pemimpin-pemimpin negara kita adalah kegagalan dalam mengesan punca sebenar sesuatu masalah. Natijahnya, ia bertukar daripada duri dalam daging menjadi daging yang berduri. Semakin lama dibiarkan, makin berbahaya. Jadi, bagaimana isu ini boleh diatasi?

Berbeza dengan lain-lain negara, kaum minoriti di Malaysia mendapat perlindungan istimewa dari segi perlembagaan. Tidak ada negara dalam dunia ini selain Malaysia yang megiktiraf kedudukan kaum minoriti samada dalam hal politik, ekonomi, sosial mahupun agama. Amerika Syarikat yang sentiasa menjadi kiblat rujukan parti pembangkang juga mengambil masa yang lama untuk melakukannya tetapi diskrimasi masih wujud terutamanya terhadap bangsa Hispanik dan Asia.

Jika dulu perlindungan ini dianggap sebagai satu rahmat oleh kaum Cina dan India di Malaysia, kini tidak lagi. Ia telah bertukar menjadi senjata yang efektif untuk mengugut UMNO dan kerajaan. Jika sesuatu dasar tidak menguntungkan mereka, dasar tersebut akan dituduh sebagai diskrimasi terhadap kaum minoriti. Sebagai contoh jika ada SJKT atau SJKC ditutup kerana kekurangan pelajar atau kuil diarah pindah ke kawasan lain yang lebih sesuai untuk melakukan ibadat, dikatakan diskrimasi tanpa memberi peluang langsung kepada kerajaan untuk menjelaskan perkara sebenar. NGO, NGI, parti politik, media termasuk media antarabangsa akan dimanipulasi supaya kerajaan Malaysia dipandang sebagai penjenayah. Akhirnya, mereka berjaya mendapatkan simpati masyarakat tempatan dan antarabangsa kerana kononnya mereka kaum minoriti yang ditindas. Kerajaan pula terpaksa tunduk kepada desakan mereka atas alasan menjaga imej negara dan mengekalkan keharmonian. Hairan, mereka tidak pula heboh satu dunia tentang bagaimana mereka mendapat kekayaan dan berbagai-bagai nikmat lain hanya kerana mereka adalah kaum minoriti. Malah, orang-orang Melayu sendiri tidak mendapat keistimewaan sedemikian dalam sesetengah perkara.

Sudah tiba masanya isu ini diberi keutamaan dan dibincangkan secara serius oleh pemerintah. Kita tidak perlukan formula kerana ia akan merumitkan lagi keadaan. Dengan adanya formula baru, lebih banyak tuntutan yang tidak munasabah akan dibuat berbekalkan tiket mereka sebagai kaum minoriti. Mula-mula tunduk akhirnya kerajaan terpaksa sujud. Itulah dark side kepada formula.

Apa yang diperlukan sekarang adalah political will untuk menyelesaikan perkara ini buat selama-lamanya. Sebagai langkah permulaan yang bijak, kerajaan perlu menghapuskan istilah ‘kaum minoriti’ dalam Malaysia. Setelah status minoriti ini dilenyapkan, maka lenyaplah perlindungan istimewa yang selama ini kerajaan berikan kepada mereka. Tiada lagi sebab untuk menyerang DEB. Tiada lagi alasan untuk membina lebih banyak SJKT atau SJKC. Sebagai rakyat Malaysia yang berikrar Malaysia Tanahairku, mereka perlu patuh kepada dasar-dasar kerajaan. Jika ada sebarang usaha untuk menggagalkan dasar, mereka pula akan dianggap penjenayah yang patut dihukum. Tiada lagi diskrimasi setelah istilah ‘kaum minoriti’ dihapuskan. Barulah kita boleh bermain di padang yang rata. Mudah-mudahan, mereka akan faham apakah yang dikatakan rahmat oleh datuk nenek mereka.

No comments:

Post a Comment