Thursday, March 10, 2011

Isu saman ekor: Apa penyelesaiannya?


Perdebatan mengenai isu saman ekor semakin hangat. Secara peribadi, penulis beranggapan bahawa saman ekor yang sudah lama dilaksanakan oleh PDRM adalah tidak adil, tidak munasabah dan membebankan rakyat. Baru-baru ini, isu saman ekor mula dijadikan senjata oleh pihak pembangkang untuk ‘menembak’ kerajaan. Kempen Anti Saman Ekor atau KASE, sebuah kumpulan pendesak yang dilancarkan oleh pembangkang sudah mula menggerakkan jenteranya untuk berkempen ke seluruh pelusuk negara bagi menerangkan kepada rakyat tentang hak mereka. Memandangkan isu ini melibatkan kepentingan umum, penulis menjangkakan KASE akan mendapat sambutan yang diharapkan.
Justeru, penulis ingin mendesak kerajaan agar mengkaji semula pelaksanaan saman ekor supaya lebih adil kepada rakyat dan penguatkuasa undang-undang. Jika kerajaan masih bertegas untuk meneruskan saman ekor atas alasan-alasan tertentu, sekurang-kurangnya penerima notis kesalahan trafik hendaklah diberikan peluang untuk membela diri. Tindakan menyenarai hitam tanpa memberi peluang kepada penerima notis adalah bertentangan dengan hak asasi yang dijamin dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara pokok yang menjadi perdebatan adalah mengapa seseorang individu yang menerima Notis Pol 170A dan ditawarkan kompaun akan terus disenarai hitam oleh pihak JPJ jika tidak menjelaskan tawaran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Hanya mahkamah sahaja yang boleh memutuskannya. Baca selanjutnya di sini.
Ada lebih kurang 15 juta Notis Pol 170A yang masih belum diselesaikan. Bayangkan jika 15 juta kes tersebut dibawa ke mahkamah. Huru-hara jadinya. Red-tape dari proses mendaftarkan kes sehingga selesai perbicaraan boleh mengambil masa yang  lama. Bolehkah masalah ini dijadikan alasan untuk menafikan hak seseorang membela diri? Sudah pasti tidak kerana keadilan mesti dilaksanakan walau apa pun rintangannya.
Penulis ingin memberi cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Wujudkan tribunal khas untuk mendengar kes-kes kesalahan trafik. Berbeza dengan mahkamah penuh, badan tribunal lebih efisyen dan menjimatkan masa serta kos mengendalikan perbicaraan. Penerima notis boleh memilih untuk membela diri sendiri atau diwakili peguam.
Tribunal ini boleh dibentuk dengan menjadikan model Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) atau Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) sebagai asas. Walaupun kelihatan mudah, sesebuah tribunal hanya boleh ditubuhkan dibawah sesuatu akta yang diluluskan oleh parlimen. Sebagai contoh, TTP ditubuhkan bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Perlindungan Pengguna Pengguna 1999. Manakala TTPR pula ditubuhkan bawah Peraturan-peraturan Pemajuan Perumahan (Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah) 2002.
Jika tribunal ini berjaya ditubuhkan, isu saman ekor yang selama ini dianggap unconstitutional boleh diselesaikan secara adil. Adalah lebih baik jika bidang kuasa tribunal ini diperluaskan untuk mendengar lain-lain jenis kesalahan trafik. Penulis yakin tidak semua penerima Notis Pol 170A yang akan mohon dibicarakan di tribunal kerana pepatah menyatakan berani kerana benar, takut kerana salah. Yang penting, keadilan terlaksana. Habis cerita. Apa pandangan tuan-tuan?

No comments:

Post a Comment