Friday, January 28, 2011

Cikgu Mala mangsa Malaun PAS?



Apabila PAS mengumumkan Normala Sudirman @ Cikgu Mala sebagai calon bertanding dalam pilihanraya DUN Tenang, ramailah yang berpura-pura bersorak gembira. Walaupun tidak bersetuju, penyokong-penyokong Pakatan Rakyat terutamanya PAS ‘dipaksa’ mengaku kononnya menyokong keputusan tersebut. Muslimah PAS juga turut bergembira. Sudah pasti Cikgu Mala orang yang paling gembira kerana kononnya pengorbanannya selama ini membuahkan hasil. Kenapa tidak, jika menang Cikgu Mala bakal menerima elaun bertimbun-timbun sebagai wakil rakyat berbanding gajinya sebagai guru. Tidak hairanlah kenapa beliau sanggup meletak jawatan 24 jam semata-mata kerana ingin menjadi wakil rakyat.

Cikgu Mala mungkin tidak mengkaji sebab mengapa dirinya diletakkan sebagai calon. Beliau boleh menjadikan track record memegang pelbagai jawatan dalam parti PAS sebagai alasan. Namun, umum mengetahui bahawa PAS tidak mungkin menang dalam PRK DUN Tenang. Bukan itu sahaja, PAS juga bakal kecundang dalam PRU-13 nanti. Kenyataan pahit yang perlu diterima oleh Cikgu Mala dan inner-circle beliau adalah, Cikgu Mala dijadikan mangsa politik PAS sebagai bahan ujikaji untuk menyukat sokongan pengundi-pengundi Melayu terhadap PAS. Tidak lebih daripada itu. PAS dan Pakatan Rakyat memerlukan platform untuk merasuk para pengundi dengan macam-macam isu yang mereka bawa. Maka tidak hairanlah, ramai pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim mengambil peluang menonjolkan diri sendiri di Tenang, Labis walaupun tidak diundang.

Cikgu Mala, semasa menjawab soalan wartawan dengan penuh semangat menyampaikan rasa terharu kepada rakan-rakannya dalam kalangan pendidik kerana mengucapkan tahniah dan menyokong penuh pencalonan beliau untuk bertanding. Bagi Cikgu Mala, ini merupakan peluangnya mengangkat martabat profession perguruan ke tahap yang lebih tinggi. Itu semua cakap-cakap politik yang mungkin telah diajarkan seseorang kepadanya terlebih dahulu. Akan tetapi, pendedahan oleh Cikgu Mala sendiri bahawa beliau telah terlibat secara aktif dalam banyak program di luar bidang tugasnya sebagai guru wajar diberi perhatian. Apakah selama penglibatannya secara aktif dalam PAS, Cikgu Mala juga telah mengabaikan tugasnya sebagai guru yang bertanggungjawab mendidik anak muridnya? Mungkin.

Kemungkinan ini tidak boleh ditolak begitu sahaja. Suami Cikgu Mala yang juga seorang guru, telah memperdayakan murid-murid dan majikannya bahawa beliau sakit dan terpaksa berehat di rumah. Mungkin kerana ‘lakonan’nya agak berkesan, pegawai perubatan yang memeriksa beliau telah bermurah hati memberikan cuti sakit selama 3 minggu. Benarkah suami Cikgu Mala sakit? Mungkin juga tetapi sakitnya sembuh setelah diubati oleh wali PAS, Nik Aziz. Sebab itulah, dia dilihat berkeliaran ke sana kemari menemani isterinya berkempen hingga sanggup meredah banjir. Ini merupakan satu pengkhianatan yang besar dan tidak harus dipandang ringan. Murid-muridnya yang dambakan ilmu telah diabaikan semata-mata ingin melihat isterinya mendapat elaun besar sebagai wakil rakyat. Ini bukan perjuangan atau pengorbanan kerana dalam masa 3 minggu, banyak ilmu yang boleh diperolehi oleh murid-muridnya. Sanggup menipu untuk mengabaikan anak muridnya. 

Bakal Mursyidul Am PAS, Al-Fadhil ulama' Nizar Jamaluddin telah mengeluarkan fatwa bahawa wajib syari’e menyokong PAS dan haram syari’e menyokong UMNO. Sepatutnya, Nizar yang diberi gelaran Nizar 'lambai' oleh penyokong-penyokongnya menegur suami Cikgu Mala bahawa haram syari’e jika menipu untuk lari daripada tanggungjawab. Ini baru betul. Di kala bermacam-macam tohmahan dilemparkan kepada para guru yang dipersalahkan kerana merudumnya prestasi pendidikan di sekolah-sekolah, Cikgu Mala dan suami mithalinya telah menguatkan lagi dakwaan ini. Sama seperti Nik Aziz yang menyokong menantu mithalinya menyalahguna kuasa di Kelantan! Inilah wajah sebenar PAS. Demi undi, apa sahaja sanggup dilakukan oleh mereka.

Bolehkah cakap-cakap agama Cikgu Mala dijadikan sandaran akhlaknya selepas ini? Suami sendiri tidak amanah di depan batang hidungnya sendiri. Cikgu Mala harus bersedia menerima serangan demi serangan kerana perbuatan terkutuk dia dan suaminya. Jika isu ini tidak panas, masakan Harakah menerbitkan berita tentang seorang guru di Pahang yang kononnya telah dianiaya oleh majikan. Ini bertujuan untuk mengalih perhatian masyarakat daripada kemungkaran yang dilakukan oleh Cikgu Mala dan suaminya.

PAS tidak akan menang kali ini dan kemungkinan besar juga akan kalah teruk dalam PRU-13. Pimpinan PAS menyedari akan hal ini. Berapa ramai lagi yang bakal dijadikan bahan ujikaji pada masa-masa akan datang? Sama-sama kita tunggu dan lihat siapa mangsa Malaun PAS seterusnya.

No comments:

Post a Comment