Friday, July 1, 2011

Rakyat Berhak Berhimpun Secara Aman, Akan Tetapi.......

Apa muslihatnya?
Peganjur perarakan haram Bersih 2.0 yang dijadual diadakan pada 9 Julai ini di ibukota berkali-kali menegaskan bahawa perarakan tersebut akan diadakan secara aman. Modal yang mereka gunakan adalah rakyat berhak berhimpun seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Malah seorang pensyarah undang-undang pro-pembangkang, Prof Abdul Aziz Bari membuat kenyataan menyokong perarakan tersebut.
Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.
“Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya,” kata pensyarah undang-undang itu. - Malaysiakini
Benarkah kenyataan tersebut? Dari satu sudut, ya sebab beliau membuat kenyataan dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan. Yang menjadi persoalan, mengapa beliau merujuk kepada satu fasal sahaja daripada keseluruhan Perkara 10 tersebut? Benarkah polis tiada kuasa untuk melarang sebarang perhimpunan?

Mari kita lihat apakah sebenarnya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.
(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—
(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;
(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;
(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.
(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Perkara 10 ini diperkuatkan lagi melalui Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 149. Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.

(1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan—
(a) untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau
(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau
(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau
(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau
(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau
(f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya,
maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu Akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian. 

(2) Sesuatu undang-undang yang mengandungi sebutan seperti yang disebut dalam Fasal (1), jika tidak terlebih dahulu dimansuhkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen yang mengungkaikan undang-undang itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelum itu menurut kuasa undang-undang itu atau tanpa menjejaskan kuasa Parlimen untuk membuat suatu undang-undang baru di bawah Perkara ini.

Saya ingin bertanya kepada Prof Abdul Aziz Bari dan penganjur perarakan haram Bersih 2.0; mengapa Perkara 149 ini tidak dijelaskan awal-awal kepada rakyat? Kalian memperakui Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara tetapi pada masa yang sama memutar-belitkan perlembagaan itu sendiri. Jika perlembagaan itu sendiri sudah memberi kuasa kepada polis untuk bertindak termasuk menguatkuasakan peraturan ISA, mengapa Prof Abdul Aziz Bari menafikannya? Inilah yang dikatakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan berniat jahat!

Perarakan haram Bersih 2.0 bukan perarakan aman. Buktinya boleh dilihat di sini dan di sini. Bukan setakat bukti rakaman video, malah dipercayai Bahagian Perisikan Keselamatan juga telah memperoleh maklumat berserta bukti bahawa ejen asing menyokong dan bakal mencetuskan huru-hara semasa perarakan haram yang akan diadakan pada 9 Julai ini. Maklumat lanjut tentang hubungan penganjur Bersih 2.0 dengan ejen-ejen asing telah didedahkan dalam beberapa blog yang berpengaruh antaranya di sini dan di sini.

Setakat 26 Jun 2011, sebanyak 1,248 laporan polis telah dibuat oleh rakyat yang bimbang dengan perkembangan ini. Justeru, pihak polis menerima tekanan daripada majoriti rakyat yang menentang Bersih 2.0 supaya mengambil tindakan pencegahan. Saya tegaskan di sini bahawa tindakan polis menahan individu-individu tertentu setakat ini adalah sah di sisi undang-undang dan selari dengan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Peguam pula mengumumkan 400 peguam bersedia untuk membela peserta-peserta Bersih 2.0 secara percuma jika ditahan. Mampukah mereka? Ini hanya umpan untuk membodohkan rakyat. Jangan tertipu dengan lakonan mereka.

4 comments:

  1. Bro, semua undang2 yg menidakkan perlembagaan adalah ultra vires.Yg bro sebut tuh bukan perlembagaan tapi klausa.Syarat utamanya ialah jaminan perhimpunan aman dah di beri.

    kalau huru hara baru lah klausa tuh terpakai

    ReplyDelete
  2. ISA adalah suatu akta yang di gubal berdasarkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan sepertimana dinyatakan di atas. Untuk persoalan tu, kita perlulah merujuk kepada seksyen 73 ISA yang menyatakan bahawa :-

    Kuasa untuk menahan orang yang disyaki
    73. (1) Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap, dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai—
    (a) bahawa ada alasan yang akan mewajarkan penahanannya di bawah seksyen 8; dan
    (b) bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.
    (2) Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu gagal untuk memuaskan hati pegawai itu tentang identitinya atau tentang maksud yang baginya dia berada di tempat dia ditemui dan yang disyaki oleh pegawai itu telah bertindak atau hampir bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di dalamnya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.
    (3) Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini boleh ditahan selama tempoh tidak melebihi enam puluh hari tanpa suatu perintah tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8.

    Kalau paham maksud seksyen ini dan juga perkara 149 itu sendiri, maka tindakan menggunakan ISA ini boleh dibuat.

    ReplyDelete
  3. Saya beranggapan ISA masih relevan,.. unsur subversif yang boleh menghancurkan negara tidak patut dibiar terlepas..

    ReplyDelete
  4. Saudara Malaysia Reform;

    Clause 149 digunakan bukan hanya digunakan "selepas" huru-hara berlaku. Perhimpunan itu sendiri telah menepati ciri2 Clause 149, dimana;

    (d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau

    Merujuk kepada Clause 149(1)(d): Tuntutan Bersih 2.0 terhadap SPR, seharusnya disalurkan melalui saluran yg betul (Parlimen, Dewan Negara).

    Hanya satu ciri ini saja sudah memadai untuk menggunakan Clause 149(1)(d). Ini bermakna, perhimpunan itu sendiri secara asasnya adalah TIDAK SAH, dan revoke 10(1)(b).

    ReplyDelete