Wednesday, July 27, 2011

Malaysia Akan Bina Masjid Di Vatican?


Usaha meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Vatican, itulah tujuan lawatan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ke Vatican City selain mengambil peluang untuk bercakap tentang 'Pergerakan Sederhana Global' seperti yang dilaporkan dalam beberapa media arus perdana. Lawatan tersebut tidak sepatutnya menjadi isu tetapi ada sesuatu yang mencuri perhatian saya. Mengapa delegasi kerajaan Malaysia ke Vatican turut melibatkan Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam? Umum mengetahui bahawa Archbishop Pakiam adalah plaintif yang bertanggungjawab memfailkan semakan kehakiman terhadap kerajaan Malaysia selepas Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan nama Allah menggantikan perkataan Tuhan dalam penerbitannya.

Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi tentang lawatan tersebut kerana kurang pasti apakah kepentingan Malaysia di Vatican dan sebaliknya. Mungkin ia sebagai langkah untuk memperbaiki hubungan antara Kerajaan Malaysia dengan pihak gereja Roman Katolik di Malaysia yang sedikit tercalar akibat kontroversi penggunaan nama Allah tersebut. Media-media pembangkang khususnya Malaysiakini dan HarakahDaily dengan pantas mengambil kesempatan memuatkan laporan-laporan tentang lawatan tersebut dari perspektif mereka yang saya kira agak negatif.

Seorang Pope merupakan ketua kepada seluruh penganut kristian Roman Katolik di seluruh dunia yang dianggarkan berjumlah kira-kira 900 juta orang. Sebagai 'Vicar of Christ', seorang Pope adalah sangat 'mulia', 'agung' dan dianggap 'wakil Tuhan atau Christ' di muka bumi. Bukan calang-calang orang yang boleh dipilih sebagai Pope. Selain memiliki kebijaksanaan yang tinggi, seorang Pope juga menguasai ilmu psikologi dengan mendalam. Cuba bayangkan, apa reaksi seseorang apabila Pope mencium tangan tetamu yang melawatnya di Vatican.

Pernah dikhabarkan, pada suatu ketika semasa Almarhum Tunku Abdul Rahman berada di sekitar Mediterranean seorang wakil gereja telah bertemu dan menjemput beliau ke Vatican City untuk berdialog dengan Pope. Tunku bersetuju. Setelah dibiarkan menunggu di setiap tingkat Sekretariat Vatican akhirnya pertemuan yang diaturkan berlangsung. Tiada apa yang dibincangkan selain daripada permintaan Pope pada masa itu supaya Tunku menggunakan pengaruhnya agar dua orang paderi kristian yang ditangkap atas kesalahan mengedar dadah di Pulau Pinang dibebaskan.

Dr. Abdullah Naseef dari Arab Saudi juga pernah dijemput oleh wakil Sekretariat Vatican untuk bertemu Pope. Beliau ialah seorang sarjana yang tinggi akalnya dan pernah menjawat pelbagai jawatan di Arab Saudi dan peringkat antarabangsa termasuk jawatan Naib Pengerusi Majlis Syura Arab Saudi dan Presiden World Muslim Congress. Seperti Tunku, Dr. Abdullah juga melalui proses yang sama sebelum bertemu dengan 'Vicar of Christ' tersebut. Agak mengejutkan, Pope kurang pasti siapa tetamunya. Beliau membuat beberapa andaian sebelum Dr. Abdullah memperkenalkan dirinya. Perkara yang dibangkitkan oleh Pope dalam sesi 'dialog' tersebut adalah mengenai pendirian kerajaan Arab Saudi yang melarang pembinaan gereja di negara itu. Dr. Abdullah membalas pertanyaan Pope dengan bijaksana, "Bolehkah anda membenarkan kami membina masjid di Vatican City?"

Mudah-mudahan Perdana Menteri kita juga telah mengendalikan perbincangannya bersama Pope dengan bijaksana.

No comments:

Post a Comment