Friday, January 14, 2011

Tenang: Dr Mahfodz vs Mustafa Ali

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed telah menimbulkan kontroversi semasa berucap dalam satu majlis ceramah PAS di Labis, Johor baru-baru ini. Apa yang dinyatakan Dr Mahfodz, PAS akan melaksanakan undang-undang Islam jika berkuasa dalam pemerintahan negara ini. Kenyataan beliau jelas menimbulkan keresahan dalam kalangan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Bagi meredakan suasana, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah memanggil sidang media lalu mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang usaha untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam di Malaysia tertakluk kepada keputusan pimpinan PAS pusat dan bukannya Dr Mahfodz. Dalam erti kata lain, Dr Mahfodz jangan memandai-mandai kata Mustafa Ali. Yang menjadi tanda tanya, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang turut hadir semasa majlis ceramah tersebut tetapi tidak pula kelihatan semasa sidang media Mustafa Ali yang dihadiri oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Barangkali ini adalah satu lagi sandiwara politik PAS untuk menawan hati penyokong-penyokong PAS di Labis manakala tugas menambat hati pengundi bukan Islam diserahkan kepada Mustafa Ali. Ini cuma andaian tetapi yang pasti ini bukan kali pertama PAS Johor menongkah arus.

Semasa perbahasan ucaptama Ketua Dewan Ulama - Muktamar Agung PAS 2009, wakil Johor, Ustaz Salam Osman menyatakan pendirian perwakilan daripada Johor yang tidak bersetuju dengan konsep Tahaluf Siyasi berdasarkan pengalaman yang mereka lalui apabila parti lain yang tidak mempunyai cawangan di Johor bertanding dalam pilihanraya dengan memerah keringat ahli-ahli PAS. Pendapat ini disokong oleh wakil Wilayah Persekutuan, Ustaz Khairuddin Aman yang mahu PAS mengkaji semula penggabungannya dengan parti-parti pembangkang yang lain. Sudah tentu parti-parti yang beliau maksudkan ialah DAP dan PKR.

Beliau kesal dengan ketaksuban ahli-ahli PAS yang menjulang tinggi Pakatan Rakyat hingga ke tahap mendewa-dewakannya walaupun terdapat sekatan-sekatan dalam melaksanakan beberapa perkara keagamaan disebabkan tahaluf ciptaan PAS. Beliau turut menegaskan bahawa tahaluf siyasi cuma alat dan bukannya matlamat, walaupun tidak menggunakan alat itu tidak akan mendatangkan apa-apa mudarat.

Itu merupakan sedikit-sebanyak tentang apa yang berlaku dalam Muktamar Agung PAS dan penulis berpendapat Dr Mahfodz cuma mengulangi pendirian PAS Johor tentang pekara ini yang mungkin selama ini tidak diendahkan oleh pimpinan PAS pusat demi mengejar kuasa. Isu ini mungkin dianggap remeh oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang taksub. Jika remeh, masakan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang turut terasa bahangnya.

Benarkah Tahaluf Siyasi ciptaan PAS menguntungkan agama Islam? Soalan ini perlu dijawab dengan jujur oleh ahli-ahli PAS sendiri.

No comments:

Post a Comment