
Dalam kajiannya, Mintz menunjukkan betapa orang Eropah dan Amerika mengubah gula, dimaksudkan di sini ialah gula pasir, daripada suatu bahan makanan mewah yang jarang-jarang digunakan dan hanya dimakan oleh golongan atasan menjadi keperluan manusia moden di seluruh dunia.
Beliau memaparkan bahawa apa yang mengubah kedudukan gula sebagai bahan makanan tambahan yang jarang digunakan, dan kadangkala hanya untuk dijadikan ubat ialah dorongan mengaut keuntungan besar-besaran oleh pihak penjajah pada zaman imperialisme abad ke-17.
Maknanya, ketagihan gula pasir oleh manusia di seluruh dunia berlaku serentak dengan perkembangan Revolusi Industri dan kapitalisme yang mewujudkan pasaran-pasaran di tanah-tanah jajahan.
Pada asalnya, gula pasir bukanlah suatu keperluan manusia walaupun spesies homo sapiens sapiens seperti juga mamalia lain khususnya di kalangan primat mempunyai cita rasa yang berkecenderungan kepada manisan.
Asli
Tetapi manisan yang digunakan oleh manusia
seperti haiwan-haiwan lain datangnya secara asli daripada tumbuhan- tumbuhan.
Walaupun gula pasir berasal daripada tebu, iaitu
suatu tumbuhan asli yang dipercayai oleh pengkaji berasal dari Papua New
Guinea, tetapi proses pemutihan yang menjadikannya sedap tetapi berbahaya pada
manusia hanya dapat dicipta setelah berlaku Revolusi Industri bermula di
England.
Gula pasir seperti juga tembakau yang menjadi
rokok dianggap sebagai komoditi palsu, iaitu bahan yang bukan keperluan tetapi
pasarannya diada-adakan kerana hendak mengaut keuntungan yang berlebihan.
Jadi kesedaran terhadap potensi gula boleh
mendatangkan keuntungan besar-besaran hanya timbul dengan kemunculan
kapitalisme seiring Revolusi Industri.
Pasaran pula hanya boleh diwujudkan apabila orang
ramai berasa keperluan terhadap sesuatu bahan. Kemanisan gula menjadi tarikan
besar kepada orang ramai untuk menjadi ketagih dan cenderung untuk
menggunakannya secara kerap dan berulang kali.
Apabila sudah dilihat potensinya, maka para
kapitalis pula mesti memperoleh cara pengeluarannya secara besar-besaran. Tanpa
pengeluaran besar-besaran, maka keuntungan tidak akan dapat dikaut walaupun
pasaran itu wujud.
Jika tidak berlaku pengeluaran besaran, maka
keinginan terhadap gula pasir akan hilang begitu saja. Ini kera na ia
sebenarnya bukanlah satu keperluan.
Dalam sejarah gula pasir ini, peluang untuk dapat
mengeluarkannya secara besar-besarannya ialah apabila Sepanyol dan Portugis
menakluki dan membuka tanah-tanah jajahannya di Amerika Tengah. sekitar Laut
Carribean dan khususnya pulau seperti Puerto Rico dan Cuba.
Menurut sejarah, dipercayai Christopher Columbus
adalah orang yang pertama membawa tebu daripada Eropah ke benua Amerika. Tetapi
ketika itu industri gula belum lagi bermula.
Hanya selepas kedatangan penjajah Inggeris ke
benua Amerika, barulah industri ini dapat bermula. Itupun setelah teknologi
memproses gula dicipta.
Jadi apa yang mereka perlukan adalah
ladang-ladang yang besar untuk menanam tebu. Perkara itu dapat dilakukan
apabila mereka menjajah benua Amerika itu.
Bagaimanapun, ladang-ladang tebu itu hanya dapat
mendatangkan manfaat jika mereka mempunyai pekerja yang ramai. Sistem
perhambaan dalam bentuk yang diwujudkan oleh penjajah memberikan tenaga bagi
industri ini.
Untuk membolehkan keuntungan secara besar-besaran
yang dikaut maka diperlukan kuasa-kuasa politik yang boleh mengekalkan
ladang-ladang besar itu, di samping para hamba, dan laluan-laluan kapal bagi
mengangkut hamba dan gula pasir, beserta dengan pasaran yang terjamin.
Kesemua ini hanya dapat diwujudkan jika sistem
penjajahan berkuat kuasa. Itulah yang berlaku pada abad ke-18 dan 19. Britain
menguasai tanah-tanah jajahan di Amerika Tengah yang menempatkan ladang-ladang tebu
itu, begitu juga dengan kapal-kapal dagang yang dilindungi oleh Tentera Laut
Diraja Inggeris di samping pasaran-pasaran di seluruh dunia, yang berada dalam
jajahannya.
Ketagihan
Kuasa politik penjajah menjadi perkara utama
supaya keuntungan dapat dikaut daripada ketagihan manusia terhadap gula pasir.
Sistem inilah yang mengasaskan industri gula
pasir. Walaupun kini zaman penjajahan sudah berlalu dan Britain hanya menjadi
kuasa kerdil diapit oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, tetapi gula pasir
sudah menjadi industri besar dengan dianggap sebagai komoditi perlu.
Kalau dahulu, gula pasir berkait rapat dengan
politik, maka begitu juga hari ini.
Gula pasir dianggap sebagai barang perlu dan
harganya dikawal dengan diberi subsidi oleh kerajaan. Kekurangan gula pula
boleh menjadi isu yang memberi kesan politik.
Gula sememangnya sudah wujud beribu-ribu tahun
lalu, sebelum Masihi sejak dari zaman tamadun India purba di mana ia disebut
dalam karya sastera Sanskrit sekitar 400 tahun sebelum Masihi.
Iskandar Zulkarnain yang datang dari Yunani dan
menawan hingga India dipercayai membawa gula dan cara membuatnya ke Asia Barat.
Kemunculan Islam membawa gula ke seluruh dunia
Islam, dari Sepanyol hingga ke Afrika. Dunia Melayu mungkin menerima gula
ketika dipengaruh oleh tamadun India.
Dari Asia Barat, tentera Salib membawa gula dan
tekniknya ke Eropah dan menjelang berlakunya Revolusi Industri, gula sudah ada
di benua itu. Dari situlah kemudiannya Sepanyol membawanya ke benua Amerika.
Tetapi ketika itu, proses membuat gula masih
primitif, tidak besar-besaran dan tidaklah seputih semudarat seperti yang ada
pada hari ini.
Tambahan pula, gula pada zaman itu, seperti juga
rempah ratus adalah bahan mahal yang digunakan secara jarang-jarang untuk
tujuan perubatan, pengawetan makanan dan bahan makanan kalangan bangsawan.
Maknanya kebanyakan manusia zaman itu tidak menggunakan gula, dan mereka bukan
saja hidup tetapi sihat untuk bekerja secara fizikal sebagai petani dan
peladang.
Eksperimen membuka ladang tebu bagi tujuan
membuat gula secara besar-besaran mula dilakukan oleh Sepanyol dan Portugis
pada kurun ke-15 selepas kuasa- kuasa penjajah itu masing-masing menakluki
kepulauan Sao Tome dan Canaries di Lautan Atlantik.
Setelah menambah bekalan gula dan didapati permintaanya
semakin meningkat di Sepanyol dan Portugis maka kuasa penjajah lain seperti
Britain dan Belanda juga turut menceburkan diri dalam industri ini.
Pada tahun 1526 Brazil menjadi pengeluar utama
gula yang dibekalkan ke Portugal. Gula dari situ tersebar ke benua Eropah yang
lain dan permintaannya terus meningkat. Begitu juga dengan harganya yang sudah
tentu menarik minat para kapitalis yang dahagakan keuntungan apabila bermulanya
Revolusi Industri.
Perkembangan seumpama ini bukan saja berlaku
terhadap gula, tetapi juga komoditi lain seperti kopi, kapas dan tembakau.
Menjelang tahun 1700, nilai gula yang sampai ke
England dan Hindia Barat Perancis berganda daripada tembakau. Melihat
keuntungan yang besar daripada gula, Britain menumpukan perhatian kepada industri
ini dan perang dilancarkan bagi menawan banyak tanah jajahan di Amerika Tengah
bagi mendapatkan ladang- ladang tebu.
Pasaran gula yang mula menjadikannya bahan
keperluan berlaku di England. Gula digunakan dengan meluas dan ia mengubah cara
pemakanan orang Inggeris. Maka gula- gula dan kek dicipta dan ia menjadi ikutan
oleh seluruh dunia sehingga hari ini.
Mintz menulis: “Secawan teh panas pertama yang
dibubuh gula dan diminum oleh seorang pekerja Inggeris merupakan suatu
peristiwa bersejarah kerana ia memulakan suatu transformasi keseluruhan
masyarakat, dan perubahan besar asas ekonomi dan sosial.”
Artikel asal oleh Zin Mahmud, Utusan Malaysia, 15 Jun 2006