Dato' Seri Anwar
Ibrahim bersungguh-sungguh dalam usahanya meyakinkan umat Islam di
Malaysia menerima fahaman pluralisme agama. Kenyataannya bahawa tiada
kebebasan bagi penganut agama-agama selain Islam untuk mengamalkan
kepercayaan mereka adalah meleset sama sekali. Jika dakwaannya benar,
mana mungkin ada gereja, kuil, tokong, gurdwara dibenarkan malah perayaan perarakan Thaipusam, persembahan agama Buddha atau fahaman Taoisme dan perayaan-perayaan lain disambut di Malaysia. Semasa menyampaikan pidatonya di London School of Economics pada 18 Mac 2010, Anwar memfitnah Al-Quran juga mengiktiraf pluralistik agama. Ucapan penuhnya boleh didengar di sini.
Professor Dato' Dr. Haron Din Al-Hafiz, seorang ulama' yang saya hormati dan Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat telah menolak hujah yang dikemukakan oleh Anwar. Benarkah Al-Quran mengiktiraf pluralisme agama? Ada beberapa ayat Al-Quran yang menjawab persoalan ini secara langsung.
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi
Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan
Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya)
melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang
kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki
yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur
ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat
segera hitungan hisabNya. (Surah Ali-Imraan : 19)
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w)
dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam),
supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain,
walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (Surah As-Saff : 9)
Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat). (Surah Asy-Syura : 13)
Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (Surah Al-Baqarah : 132)
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (Surah At-Taubah : 33)
(Allah yang menyatakan itu) Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad, s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan ugama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu). (Surah Al-Fath : 28)
(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah Ar-Rum : 30)
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah Az-Zumar : 3)
Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah Yusuf : 40)
SadaqAllahul 'Azim.
Ironinya, Anwar akan membaca salah satu daripada ayat-ayat di atas sebagai pembuka wayang politik di hadapan orang-orang Islam tetapi lain pula pendiriannya semasa berhadapan dengan penonton yang bukan Islam. Wahai Anwar, bertaubatlah sebelum terlambat.