Friday, January 28, 2011

Cikgu Mala mangsa Malaun PAS?



Apabila PAS mengumumkan Normala Sudirman @ Cikgu Mala sebagai calon bertanding dalam pilihanraya DUN Tenang, ramailah yang berpura-pura bersorak gembira. Walaupun tidak bersetuju, penyokong-penyokong Pakatan Rakyat terutamanya PAS ‘dipaksa’ mengaku kononnya menyokong keputusan tersebut. Muslimah PAS juga turut bergembira. Sudah pasti Cikgu Mala orang yang paling gembira kerana kononnya pengorbanannya selama ini membuahkan hasil. Kenapa tidak, jika menang Cikgu Mala bakal menerima elaun bertimbun-timbun sebagai wakil rakyat berbanding gajinya sebagai guru. Tidak hairanlah kenapa beliau sanggup meletak jawatan 24 jam semata-mata kerana ingin menjadi wakil rakyat.

Cikgu Mala mungkin tidak mengkaji sebab mengapa dirinya diletakkan sebagai calon. Beliau boleh menjadikan track record memegang pelbagai jawatan dalam parti PAS sebagai alasan. Namun, umum mengetahui bahawa PAS tidak mungkin menang dalam PRK DUN Tenang. Bukan itu sahaja, PAS juga bakal kecundang dalam PRU-13 nanti. Kenyataan pahit yang perlu diterima oleh Cikgu Mala dan inner-circle beliau adalah, Cikgu Mala dijadikan mangsa politik PAS sebagai bahan ujikaji untuk menyukat sokongan pengundi-pengundi Melayu terhadap PAS. Tidak lebih daripada itu. PAS dan Pakatan Rakyat memerlukan platform untuk merasuk para pengundi dengan macam-macam isu yang mereka bawa. Maka tidak hairanlah, ramai pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim mengambil peluang menonjolkan diri sendiri di Tenang, Labis walaupun tidak diundang.

Cikgu Mala, semasa menjawab soalan wartawan dengan penuh semangat menyampaikan rasa terharu kepada rakan-rakannya dalam kalangan pendidik kerana mengucapkan tahniah dan menyokong penuh pencalonan beliau untuk bertanding. Bagi Cikgu Mala, ini merupakan peluangnya mengangkat martabat profession perguruan ke tahap yang lebih tinggi. Itu semua cakap-cakap politik yang mungkin telah diajarkan seseorang kepadanya terlebih dahulu. Akan tetapi, pendedahan oleh Cikgu Mala sendiri bahawa beliau telah terlibat secara aktif dalam banyak program di luar bidang tugasnya sebagai guru wajar diberi perhatian. Apakah selama penglibatannya secara aktif dalam PAS, Cikgu Mala juga telah mengabaikan tugasnya sebagai guru yang bertanggungjawab mendidik anak muridnya? Mungkin.

Kemungkinan ini tidak boleh ditolak begitu sahaja. Suami Cikgu Mala yang juga seorang guru, telah memperdayakan murid-murid dan majikannya bahawa beliau sakit dan terpaksa berehat di rumah. Mungkin kerana ‘lakonan’nya agak berkesan, pegawai perubatan yang memeriksa beliau telah bermurah hati memberikan cuti sakit selama 3 minggu. Benarkah suami Cikgu Mala sakit? Mungkin juga tetapi sakitnya sembuh setelah diubati oleh wali PAS, Nik Aziz. Sebab itulah, dia dilihat berkeliaran ke sana kemari menemani isterinya berkempen hingga sanggup meredah banjir. Ini merupakan satu pengkhianatan yang besar dan tidak harus dipandang ringan. Murid-muridnya yang dambakan ilmu telah diabaikan semata-mata ingin melihat isterinya mendapat elaun besar sebagai wakil rakyat. Ini bukan perjuangan atau pengorbanan kerana dalam masa 3 minggu, banyak ilmu yang boleh diperolehi oleh murid-muridnya. Sanggup menipu untuk mengabaikan anak muridnya. 

Bakal Mursyidul Am PAS, Al-Fadhil ulama' Nizar Jamaluddin telah mengeluarkan fatwa bahawa wajib syari’e menyokong PAS dan haram syari’e menyokong UMNO. Sepatutnya, Nizar yang diberi gelaran Nizar 'lambai' oleh penyokong-penyokongnya menegur suami Cikgu Mala bahawa haram syari’e jika menipu untuk lari daripada tanggungjawab. Ini baru betul. Di kala bermacam-macam tohmahan dilemparkan kepada para guru yang dipersalahkan kerana merudumnya prestasi pendidikan di sekolah-sekolah, Cikgu Mala dan suami mithalinya telah menguatkan lagi dakwaan ini. Sama seperti Nik Aziz yang menyokong menantu mithalinya menyalahguna kuasa di Kelantan! Inilah wajah sebenar PAS. Demi undi, apa sahaja sanggup dilakukan oleh mereka.

Bolehkah cakap-cakap agama Cikgu Mala dijadikan sandaran akhlaknya selepas ini? Suami sendiri tidak amanah di depan batang hidungnya sendiri. Cikgu Mala harus bersedia menerima serangan demi serangan kerana perbuatan terkutuk dia dan suaminya. Jika isu ini tidak panas, masakan Harakah menerbitkan berita tentang seorang guru di Pahang yang kononnya telah dianiaya oleh majikan. Ini bertujuan untuk mengalih perhatian masyarakat daripada kemungkaran yang dilakukan oleh Cikgu Mala dan suaminya.

PAS tidak akan menang kali ini dan kemungkinan besar juga akan kalah teruk dalam PRU-13. Pimpinan PAS menyedari akan hal ini. Berapa ramai lagi yang bakal dijadikan bahan ujikaji pada masa-masa akan datang? Sama-sama kita tunggu dan lihat siapa mangsa Malaun PAS seterusnya.

Sunday, January 23, 2011

TPM Pakatan Rakyat: Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng?


Sebelum keputusan rasmi PRU-12 dihebahkan kepada umum di Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah memanggil satu sidang media untuk mengumumkan kekalahan BN di negeri itu. Tidak lama selepas itu, DAP pula memanggil sidang media untuk memberitahu kepada umum tentang hak mereka membentuk kerajaan negeri. Tetapi, ada perkara lain yang lebih menarik daripada itu. Cakap-cakap mula kedengaran tentang kesediaan Lim Guan Eng untuk memeluk Islam. Penulis yang mengambil pendekatan non-partisan semasa PRU-12 atas beberapa sebab tertentu, berasa sejuk dada bukan kerana kemenangan DAP atau Pakatan Rakyat tetapi gembira kerana bertambah seorang lagi saudara baru dalam keluarga besar Islam di atas muka bumi ini. Alhamdulillah, bisik hati kecil penulis pada ketika itu.


Kemudian, penulis bertanya kepada si penyampai berita yang juga merupakan bekas pemimpin bawahan Pemuda UMNO yang menyertai PAS selepas PRU-12, “Dia dah mengucap Syahadah ka belum?” Penulis tersedak dengan jawapan berikut, “Belum, dia kata nak masuk Islam lepas bapa dia Lim Kit Siang meninggal”. Sebab apa nak tunggu bapa dia meninggal?, penulis bertanya kepada rakan tersebut. Tiada jawapan. Rakan penulis menambah, “Lim Guan Eng kata DAP kena berubah, tak boleh terlampau keras macam Lim Kit Siang (bapa) atau Karpal Singh.... depa tu semua dah tak boleh pakai”. “Oh macam tu”, penulis membalas dan perbualan tamat di situ.


Kemudian Lim Guan Eng mengisytiharkan bahawa pemerintahannya akan melaksanakan dasar-dasar Khalifah Umar Ab Aziz. Pada pemahaman penulis, dasar apa lagi yang dimaksudkan jika bukan dasar Islam? Penulis menjangkakan akan ada wakil rakyat PAS yang dilantik ke jawatan Exco kerajaan negeri. Tiada. Penulis juga menjangka wakil rakyat PAS akan mengisi jawatan Timb. Ketua Menteri. Tiada. Tetapi dalam hal pelantikan Timb. Ketua Menteri, Lim Guan Eng memang licik. Kenapa? Berbekalkan alasan berlaku adil kepada semua kaum, beliau telah melantik seorang timbalan berbangsa Melayu dan seorang lagi mewakili kaum India. Hasilnya:

Ketua Menteri :
Lim Guan Eng (DAP)
Timb. KM I :
Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) kemudiannya Dr Mansor Othman (PKR)
Timb. KM II :
Prof. Dr. P. Ramasamy (DAP)
Exco :
Chow Kon Yeow (DAP)

Tuan Hj Abdul Malik Abul Kassim (PKR)

Lim Hock Seng (DAP)

Law Heng Kiang (DAP)

Phee Boon Poh (DAP)

Law Choo Kiang (PKR)

Wong Hon Wai (DAP)

Ong Kok Fooi (DAP)
Speaker DUN :
Dato’ Hj. Abdul Halim bin Hussain (PKR)

Dato’ Tan Hock Leong (PKR)


Cuba perhatikan strategi DAP berkomplot dengan PKR untuk meminggirkan PAS dan orang-orang Melayu. Majoriti jawatan pembuat dasar dibolot oleh DAP. Gula-gulanya adalah melantik Speaker dan Timb. Speaker daripada PKR kerana PKR berpotensi membuat kacau. Tricknya di sini adalah, Speaker dan Timb. Speaker tiada kuasa eksekutif dalam membuat dasar kerajaan negeri!


Jika Lim Guan Eng benar-benar adil, Timb. KM I wajar disedekahkan kepada PAS dan Timb. KM II boleh dihadiahkan kepada PKR. Untuk rekod, ADUN Batu Uban, Raveentharan Subramaniam  (PKR) juga layak dilantik ke jawatan Timb. KM II. Sebaliknya, Lim memilih untuk mengukuhkan  dominasi DAP dalam barisan Exconya. Atau, mengapa ADUN tunggal PAS tidak mengisi jawatan Exco Agama sebaliknya diberi kepada PKR? Bukankah PAS sangat bangga kerana sudah berjaya meng’Islam’kan Lim Guan Eng? Tak bolehkah Lim Guan Eng membalas jasa PAS kerana membantu Lim melihat cahaya di hujung terowong? Sudah pasti penyokong tegar Pakatan Rakyat akan berhujah sebab PAS hanya menang 1 kerusi sahaja. Soalan saya, sejak bila Khalifah Umar Abd Aziz ‘adil’ mengikut jumlah kerusi?


Dalam hal ini, Lim Guan Eng tidak bersalah kerana menjual nama seorang khalifah agung untuk memikat hati orang Islam kerana beliau belajar daripada PAS. Apalah sangat menjual nama seorang khalifah berbanding PAS yang menjual nama Allah dan Rasul semata-mata kerana politik. PAS buat segantang, DAP buat secupak.


Cuba tuan-tuan fikir, barisan Exco yang ada sekarang mencermini parti DAP yang dikatakan bukan racist? Untuk semua ini, PAS merestui Lim Kit Siang sebagai TPM, itu pun sekiranya angan-angan mat jenin Anwar Ibrahim menjadi kenyataan. Penulis rasa Anwar dan PAS tersilap. Bukan Lim Kit Siang tetapi Lim Guan Eng. Kenapa tidak, Lim Guan Eng berhasrat masuk Islam selepas Lim Kit Siang meninggal. Dan PAS pun terpesona. Dunia oh dunia...


(Analisis terperinci tentang kerjasama PAS-DAP yang dikatakan bijaksana oleh PAS dan pengikutnya akan diterbitkan dalam blog ini secara berperingkat-peringkat.)

Thursday, January 20, 2011

PM Najib, tolong kawal Chua Soi Lek

Chua Soi Lek tak habis-habis buat hal. Ada kalanya, mamat ni macam cuba nak sabotaj UMNO. Apa masalahnya, Chua Soi Lek? Cuba berterus-terang dengan Najib, apa sebenarnya yang kamu mahu. Jangan baling batu sembunyi tangan. Jadilah anak jantan. Jumpa Najib atau Muhyiddin dan luahkan isi hati kamu. Jangan tikam UMNO dari belakang.

Terbaru, Chua Soi Lek persenda ajaran Islam semasa ceramah di sebuah Tokong di Tenang. Mamat ni cuba jadi ‘hero tumpang’ apabila BN diumumkan menang PRK DUN Tenang nanti. Tak usahlah kamu berpura-pura, wahai Chua Soi Lek. Kalau kamu benar-benar ikhlas nak bantu UMNO di Tenang, beri tumpuan kepada masalah kaum Cina. Jangan cakap benda-benda yang buat orang Islam marah. Jangan ‘bantu’ orang Islam menjauhkan diri daripada UMNO, faham?

Dato Sri Najib, tolong nasihat sikit si Chua Soi Lek supaya jangan celupar. Ini bukan first time. Dulu dia kata negara Islam akan mundur. Apa Malaysia ini bukan negara Islam? Apa Malaysia ini mundur? Saya tengok dia ni cakap berbelit-belit. Sekejap macam ini, sekejap macam itu. MCA sebahagian daripada BN dan MCA bukan milik peribadi Chua Soi Lek supaya dia boleh lepas cakap sesuka hati dia.

Sesiapa yang cuba nak sabotaj UMNO di Tenang, sila ambil perhatian: Lupakan saja niat jahat kamu itu sebab UMNO–BN akan menang besar di Tenang. Walau apa pun, Dato Sri Najib, tolong kawal Chua Soi Lek si mulut celupar tu. Sekian.

Wednesday, January 19, 2011

“I am the law!” – Ng Wei Aik



Isu salah guna kuasa ADUN Komtar, Ng Wei Aik terhadap pemilik restoran nasi kandar, Syed Kassali Mohamad Aliyar pada 2/1/2011 masih belum selesai. Walaupun dia sudah memohon maaf daripada Syed Kassali, bukan bermakna DAP boleh lepas begitu sahaja. Ini kerana Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP masih belum menyatakan pendirian rasmi tentang kejadian tersebut.

Banyak soalan yang perlu ditanya kepada Lim Guan Eng. 
  1. Pernahkah mana-mana pihak membuat aduan rasmi kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tentang restoran terbabit?
  2. Adakah siasatan pihak polis trafik menyatakan restoran tersebut sebagai punca kemalangan?
  3. Jika ya, sudahkah Bahagian Penguatkuasaan MPPP diarah menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil?
  4. Apakah alasan Ng Wei Aik untuk menyalah guna kuasa di luar kawasannya iaitu DUN Komtar? Untuk rekod, lokasi kejadian salah guna kuasa berada di luar kawasan DUN Komtar.
  5. Mengapa ada individu-individu yang tiada kena-mengena (2 orang Ah Beng berseluar pendek) turut serta dalam operasi salah guna kuasa?
  6. Adakah Kedaulatan Undang-undang bermaksud sesiapa sahaja daripada parti DAP boleh menyalah guna kuasa terhadap pihak bukan-Cina atas alasan menguatkuasakan undang-undang?
  7. Undang-undang manakah yang menghalalkan seorang ADUN luar kawasan turut serta dalam sesuatu operasi dan mengarahkan anggota penguatkuasa merampas harta peniaga?
  8. Jika ditakdirkan berlaku rusuhan pada hari tersebut, siapa yang akan bertanggungjawab? Lim Guan Eng?
Bukan setakat itu sahaja tetapi banyak lagi soalan jika diambil kira dari sudut teknikal dan undang-undang. Jika kita saksikan video di atas, Ng Wei Aik dengan wajah angkuh menyebut “Kedaulatan Undang-undang” berkali-kali. Penulis teringat kepada filem Judge Dredd – “I am the law!” kata Dredd. Inilah rupa sebenar DAP yang racist dan angkuh. Kalau dibiarkan, makin menjadi-jadi gamaknya selepas ini.

DAP harus bertanggungjawab dan jangan mengambil sikap lepas tangan kerana Ng Wei Aik adalah salah seorang ADUN (DAP) merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri. Untuk rekod, ADUN kong kam inilah yang membuat laporan polis ke atas  Menteri Kewangan II, Datuk Husni Hanadzlah dengan menuduh beliau mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman. Lim Guan Eng jangan jadi pengecut dalam isu ini. Penulis mendesak supaya Lim Guan Eng merujuk ADUN kong kam terbabit kepada jawatankuasa disiplin parti DAP (ada ke?) kerana salah laku yang amat serius.

Lucutkan jawatannya sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri untuk memastikan dia tidak salah guna kedudukannya dalam parti dan kerajaan untuk melancarkan apa-apa operasi haram selepas ini. Beranikah Lim Guan Eng? Usia Ng Wei Aik baru 32 tahun tetapi antara yang popular dalam DAP Pulau Pinang. Lim Guan Eng pula orang luar. Sebab tu dia besar kepala! Apa pula tindakan Lim Guan Eng jika senarionya berbeza? ADUN kong kam digantikan dengan YB Ahmad dan Ah Beng berada di tempat Syed Kassali. Cuba tuan-tuan tanya Dato' Seri Zahrain, barangkali beliau boleh menjawab dengan tepat.


*kong kam = samseng

Sunday, January 16, 2011

PAS hanya mahu kurma, bukan peria

Kurma manis dan peria pahit. Itulah hakikatnya. Penulis berasa amat tertarik dengan pendedahan blogger Pisau mengenai rancangan halus DAP untuk memerdekakan Pulau Pinang daripada Malaysia. Berdasarkan hujah yang dikemukakan, konsep yang cuba dilaksanakan bukannya pemerintahan berautonomi tetapi lebih mirip kepada cubaan DAP untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negara baru. Sejauh mana pendedahan berani oleh blogger otai tersebut benar belum dapat dipastikan tetapi isu ini tidak harus dipandang enteng.

Menurut Pisau, Lim Guan Eng yang ditemani MB Kedah sendiri, Ustaz Azizan Razak telah menghadap DYMM Sultan Kedah untuk memohon supaya Pulau Pinang dilepaskan daripada perjanjian dengan kesultanan Kedah. Menurutnya lagi, DYMM Sultan Kedah telah murka dan menghalau delegasi penjolok sarang tebuan tersebut. Jika dilihat dari pelbagai sudut, penulis mendapati DAP memang mempunyai keberanian untuk berbuat demikian atas alasan segala tindakan mereka adalah demi rakyat. Ya, DAP mahu disayangi oleh rakyat dan akan berbuat apa sahaja untuk mengambil hati rakyat asalkan tindakan mereka tidak dipersoalkan. Ditambah pula dengan sokongan tidak berbelah-bagi daripada orang-orang Melayu yang terpengaruh dengan indoktrinasi mereka.

Kita biarkan dulu DAP. Mari kita tumpukan kepada PAS. Jika benar dakwaan Pisau bahawa PAS bersekongkol dengan DAP dalam menjayakan rancangan jahat ini, maka benarlah tanggapan bahawa PAS sedang berusaha untuk menyingkirkan halangan-halangan yang boleh membantutkan usaha mereka untuk berkuasa. Banyak isu-isu di negeri Pulau Pinang memang memeningkan kepala pemimpin PAS. PAS tidak mampu berbuat apa-apa untuk memastikan hak tersirat masyarakat Melayu Islam di Pulau Pinang terpelihara selain berdiam diri dan terus sembah hormat menyatakan taat setia kepada bos mereka, DAP. Penulis yakin, jauh di lubuk hati pemimpin PAS memang ada kekecewaan tetapi atas semangat Pakatan Rakyat (kononnya), PAS lebih mengutamakan mimpi ke Putrajaya mengatasi segala-galanya.

Di Kelantan, PAS boleh bergerak selesa kerana 95% penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam dan inilah yang sentiasa menjadi modal politik kononnya mereka mampu memerintah negara kelak. Tanpa rasa malu, PAS mendabik dada kononnya sudah bersedia menggantikan UMNO. Walhal, suara PAS tenggelam dalam kerajaan Perak (10 bulan), Pulau Pinang dan Selangor. Buat masa sekarang, PAS masih dominan di Kedah atas faktor demografi pengundi. Jika Pulau Pinang terus kekal dalam Persekutuan Malaysia, ini bakal menjadi during dalam daging PAS. Jika melepaskan Pulau Pinang boleh memastikan DAP tidak menjadi beban kepada PAS di arena politik nasional, berkompromi  dengan parti chauvinist tersebut  adalah jalan penyelesaian walaupun hak orang Melayu Islam di Pulau Pinang menjadi pertaruhan. Itulah wajah sebenar PAS, matlamat menghalalkan cara.

Satu lagi pandangan Pisau yang wajar diberi perhatian adalah Pulau Pinang dijadikan  sebuah Wilayah Persekutuan. Ini akan mengekang mana-mana pihak daripada melaksanakan rancangan jahat sambil berselindung di belakang rakyat tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Namun, sudah pasti cadangan tersebut akan mendapat tentangan daripada pelbagai pihak terutamanya ahli-ahli politik yang berkepentingan. Melihat kepada perspektif pembaharuan, mungkin sudah tiba masa  Pulau Pinang dijadikan sebuah Wilayah Persekutuan asalkan Pulau Pinang tidak menjadi Kuala Lumpur II.

Tetapi pilihan di tangan rakyat, Kuala Lumpur atau Singapura? Lagi pun, pelan menjadikan Pulau Pinang sebuah Wilayah Persekutuan pernah menjadi bahan bisikan golongan tertentu sejak berpuluh tahun dulu.

Friday, January 14, 2011

Tenang: Dr Mahfodz vs Mustafa Ali

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed telah menimbulkan kontroversi semasa berucap dalam satu majlis ceramah PAS di Labis, Johor baru-baru ini. Apa yang dinyatakan Dr Mahfodz, PAS akan melaksanakan undang-undang Islam jika berkuasa dalam pemerintahan negara ini. Kenyataan beliau jelas menimbulkan keresahan dalam kalangan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Bagi meredakan suasana, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah memanggil sidang media lalu mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang usaha untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam di Malaysia tertakluk kepada keputusan pimpinan PAS pusat dan bukannya Dr Mahfodz. Dalam erti kata lain, Dr Mahfodz jangan memandai-mandai kata Mustafa Ali. Yang menjadi tanda tanya, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang turut hadir semasa majlis ceramah tersebut tetapi tidak pula kelihatan semasa sidang media Mustafa Ali yang dihadiri oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Barangkali ini adalah satu lagi sandiwara politik PAS untuk menawan hati penyokong-penyokong PAS di Labis manakala tugas menambat hati pengundi bukan Islam diserahkan kepada Mustafa Ali. Ini cuma andaian tetapi yang pasti ini bukan kali pertama PAS Johor menongkah arus.

Semasa perbahasan ucaptama Ketua Dewan Ulama - Muktamar Agung PAS 2009, wakil Johor, Ustaz Salam Osman menyatakan pendirian perwakilan daripada Johor yang tidak bersetuju dengan konsep Tahaluf Siyasi berdasarkan pengalaman yang mereka lalui apabila parti lain yang tidak mempunyai cawangan di Johor bertanding dalam pilihanraya dengan memerah keringat ahli-ahli PAS. Pendapat ini disokong oleh wakil Wilayah Persekutuan, Ustaz Khairuddin Aman yang mahu PAS mengkaji semula penggabungannya dengan parti-parti pembangkang yang lain. Sudah tentu parti-parti yang beliau maksudkan ialah DAP dan PKR.

Beliau kesal dengan ketaksuban ahli-ahli PAS yang menjulang tinggi Pakatan Rakyat hingga ke tahap mendewa-dewakannya walaupun terdapat sekatan-sekatan dalam melaksanakan beberapa perkara keagamaan disebabkan tahaluf ciptaan PAS. Beliau turut menegaskan bahawa tahaluf siyasi cuma alat dan bukannya matlamat, walaupun tidak menggunakan alat itu tidak akan mendatangkan apa-apa mudarat.

Itu merupakan sedikit-sebanyak tentang apa yang berlaku dalam Muktamar Agung PAS dan penulis berpendapat Dr Mahfodz cuma mengulangi pendirian PAS Johor tentang pekara ini yang mungkin selama ini tidak diendahkan oleh pimpinan PAS pusat demi mengejar kuasa. Isu ini mungkin dianggap remeh oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang taksub. Jika remeh, masakan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang turut terasa bahangnya.

Benarkah Tahaluf Siyasi ciptaan PAS menguntungkan agama Islam? Soalan ini perlu dijawab dengan jujur oleh ahli-ahli PAS sendiri.